Terlebih dahulu saya panjatkan kesyukuran kehadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya maka kita dapat bersama-sama dalam era pendidikan dengan ledakan penggunaan teknologi alaf baru.
Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua guru dan seluruh warga SK Nyalas di atas kerjasama serta komitmen yang diberikan dalam meningkatkan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran.
Dunia pendidikan hari ini sangat mencabar. Penggunaan ICT di dalam PDPc guru semakin menjadi trend dan ianya merupakan salah satu platform yang sangat berkesan dalam penyampaian maklumat dengan cepat dan efektif. Ini dapat dilihat dari penegasan Kementerian Pendidikan bahawa sistem pembelajaran hari ini harus berkonsepkan Pembelajaran Abad ke 21. Guru hanya bertindak sebagai pemudahcara pembelajaran murid. Sebagai pentadbir, saya sangat berharap supaya semua warga sekolah dapat menggunakan kemudahan ICT dengan sepenuhnya bagi memenuhi aspirasi pelajar yang akhirnya akan dapat meningkatkan pencapaian akademik dan memperkasa sahsiah murid dari semasa ke semasa.
Warga pendidik juga dituntut untuk melakukan usaha-usaha penambahbaikan dalam semua aspek bagi menjana kecemerlangan dan kegemilangan. Oleh itu penetapan motto Sekolah Kebangsaan Nyalas dengan akronim "BEST" iaitu "Be Excellent Success Together" dirasakan sesuai untuk membawakan penyatuan jiwa dan dan semangat warga SK Nyalas untuk memperoleh dan menikmati kejayaan yang dicipta bersama. Saya sangat berharap agar semua warga SK Nyalas khususnya guru-guru dan murid-murid dapat menghayati slogan "BEST" dalam setiap bidang pencapaian. Semoga ianya menjadi azimat bagi warga sekolah dalam mendepani arus transformasi pendidikan seperti yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025). Saya juga berharap warga SK Nyalas akan dapat menghayati sepenuhnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Objektif dan Piagam Pelanggan sekolah serta dasar-dasar kerajaan berkaitan dengan pendidikan.
Perpaduan di kalangan pentadbir, guru-guru, staff sokongan, murid-murid, PIBG dan lain-lain entiti yang boleh menyokong dan membantu sekolah akan diperkasa demi membentuk kekuatan, kesepaduan hasrat dan cita-cita untuk melihat SK Nyalas menjadi salah sebuah sekolah terbaik khasnya di Daerah Jasin dan Negeri Melaka amnya akan tercapai dalam masa yang singkat.
Perpaduan di kalangan pentadbir, guru-guru, staff sokongan, murid-murid, PIBG dan lain-lain entiti yang boleh menyokong dan membantu sekolah akan diperkasa demi membentuk kekuatan, kesepaduan hasrat dan cita-cita untuk melihat SK Nyalas menjadi salah sebuah sekolah terbaik khasnya di Daerah Jasin dan Negeri Melaka amnya akan tercapai dalam masa yang singkat.